Saturday 15 October 2011

Pantun Dalam Skrip Pengacaraan Majlis

Dalam memulakan sesuatu majlis, pantun boleh digunakan sebagai penyeri kata-kata pengacara. Pantun yang digunakan dalam skrip pengacaraan majlis mestilah sesuai dengan majlis yang dikendalikan. Kesesuaian dilihat dari segi jenis pantun, pembayang yang digunakan dan juga dari segi maksud pantun tersebut. Pantun-pantun yang baik buka sahaja dilihat dari bentuknya, tetapi juga dari segi perkaitan antara baris-baris pembayang dan juga maksud. Contohnya;

Pagi hari pergi ke pekan,
Hendak membeli buah kuini,
Selamat datang kami ucapkan,
Semoga hadirin selesa di sini.

Dalam memulakan sesuatu majlis, pantun boleh digunakan sebagai penyeri kata-kata pengacara;

Indah mentari terbit di kuala,
Tampak cahaya cerah berserakan,
Sebelum majlis kita bermula,
Bacaan doa kita mulakan.

Untuk mengucapkan terima kasih kepada orang yang membacakan doa, bolehlah diungkapkan dengan pantun berikut;

Pergi mengail ikan haruan,
Buat selendang kain pelikat,
Terima kasih kepada tuan,
Doa dipohon semoga berkat.

Untuk beralih dari satu acara ke satu acara yang lain jika diungkapkan dalam bentuk pantun akan terasa lebih indah, misalnya;

Dari Kelantan pergi ke Kedah,
Dari Kedah ke Perak pula,
Doa selamat di pohon sudah,
Mari kita beralih acara.

Untuk menjemput tetamu kehormat menyampaikan ucapan perasmian, kita boleh menjemput dengan menggunakan pantun seperti berikut;

Pergi ke pantai mencari lokan,
Rehat berteduh di pohon jati,
Ucapan perasmian kita nantikan,
Mari bersama kita hayati.

Selepas beberapa atur cara dijalankan, biasanya majlis akan berehat seketika. Untuk mengumumkan majlis berehat seketika itu bolehlah digunakan pantun berikut;

Paduka sukma setia menanti,
Berseri di hati pinangan dibawa,
Seketika cuma majlis berhenti,
Mari nikmati halwa telinga.

Apabila pengerusi akan mengakhiri majlis, bolehlah digunakan pantun sebagai penutup bicara dan untuk mengucapkan terima kasih kepada sekalian hadirin serta tetamu kehormat;

Masak kari si udang galah,
Mari dicecah dengan roti,
Kalau ada silap dan salah,
Janganlah disimpan di dalam hati.

Apa yang dipaparkan di atas, diharap sedikit sebanyak dapat membantu guru-guru yang ketandusan idea atau yang menjadi pengacara majlis secara bidan terjun.