Saturday, 29 October 2011

KOLEKSI KATA-KATA MOTIVASI

Kebijaksanaan adalah bahagian teragung dalam kegembiraan.

Hidup tanpa sesuatu yang kita idamkan umpama sebahagian kegembiraan yang tidak diketepikan.

Kegagalan adalah satu peluang untuk bermula sekali lagi dengan lebih baik.

Sebahagian besar kejayaan disebabkan seseorang itu terus berjuang apabila yang lain telah menyerah kalah.

kekalahan cuma suatu keadaan yang sementara. berputus asa yang menjadikannya suatu yang kekal.

Kegagalan bukannya kegagalan untuk menemui tujuan. Kegagalan sebenarnya ialah kegagalan untuk mencapai tahap paling tinggi yang sepatutnya kamu capai.

Anda mungkin akan berasa kecewa sekiranya anda gagal, tetapi anda pasti binasa sekiranya tidak mencuba untuk melakukannya.

Pelajaran terbaik di dunia ialah pelajaran yang diterima menerusi keperitannya untuk meneruskan kehidupan.

Tidak ada rahsia bagi kejayaan. Ia adalah hasil persediaan, kerja keras dan belajar daripada kegagalan.

Saturday, 15 October 2011

BUAT GURU YANG MENGACARAKAN MAJLIS

Adakah panggilan dalam teks ucapan ditulis dengan huruf besar?
Contohnya:
Tuan pengerusi majlis, yang berusaha guru besar, guru-guru dan rakan-rakan sekalian…

Menurut peraturannya, kata nama am tidak dieja dengan huruf besar (huruf pertamanya). Jadi, “Tuan pengerusi majlis, yang berusaha guru besar, guru-guru dan rakan-rakan” sepatutnya ditulis dengan huruf kecil.

Walau bagaimanapun, dalam teks ucapan, tuan pengerusi majlis dan yang berusaha guru besar boleh ditulis dengan huruf besar (pada pangkalnya sahaja) kerana kata tersebut dijadikan panggilan khas untuk merujuk orang tertentu yang berada dalam sesuatu majlis.

Maka, huruf besar boleh digunakan seperti dalam nama khas untuk kata Tuan Pengerusi Majlis dan Yang Berusaha Guru Besar, kecuali untuk kata guru-guru dan rakan-rakan kerana kata tersebut ditujukan secara umum kepada yang hadir dalam majlis tersebut.
Pantun Dalam Skrip Pengacaraan Majlis

Dalam memulakan sesuatu majlis, pantun boleh digunakan sebagai penyeri kata-kata pengacara. Pantun yang digunakan dalam skrip pengacaraan majlis mestilah sesuai dengan majlis yang dikendalikan. Kesesuaian dilihat dari segi jenis pantun, pembayang yang digunakan dan juga dari segi maksud pantun tersebut. Pantun-pantun yang baik buka sahaja dilihat dari bentuknya, tetapi juga dari segi perkaitan antara baris-baris pembayang dan juga maksud. Contohnya;

Pagi hari pergi ke pekan,
Hendak membeli buah kuini,
Selamat datang kami ucapkan,
Semoga hadirin selesa di sini.

Dalam memulakan sesuatu majlis, pantun boleh digunakan sebagai penyeri kata-kata pengacara;

Indah mentari terbit di kuala,
Tampak cahaya cerah berserakan,
Sebelum majlis kita bermula,
Bacaan doa kita mulakan.

Untuk mengucapkan terima kasih kepada orang yang membacakan doa, bolehlah diungkapkan dengan pantun berikut;

Pergi mengail ikan haruan,
Buat selendang kain pelikat,
Terima kasih kepada tuan,
Doa dipohon semoga berkat.

Untuk beralih dari satu acara ke satu acara yang lain jika diungkapkan dalam bentuk pantun akan terasa lebih indah, misalnya;

Dari Kelantan pergi ke Kedah,
Dari Kedah ke Perak pula,
Doa selamat di pohon sudah,
Mari kita beralih acara.

Untuk menjemput tetamu kehormat menyampaikan ucapan perasmian, kita boleh menjemput dengan menggunakan pantun seperti berikut;

Pergi ke pantai mencari lokan,
Rehat berteduh di pohon jati,
Ucapan perasmian kita nantikan,
Mari bersama kita hayati.

Selepas beberapa atur cara dijalankan, biasanya majlis akan berehat seketika. Untuk mengumumkan majlis berehat seketika itu bolehlah digunakan pantun berikut;

Paduka sukma setia menanti,
Berseri di hati pinangan dibawa,
Seketika cuma majlis berhenti,
Mari nikmati halwa telinga.

Apabila pengerusi akan mengakhiri majlis, bolehlah digunakan pantun sebagai penutup bicara dan untuk mengucapkan terima kasih kepada sekalian hadirin serta tetamu kehormat;

Masak kari si udang galah,
Mari dicecah dengan roti,
Kalau ada silap dan salah,
Janganlah disimpan di dalam hati.

Apa yang dipaparkan di atas, diharap sedikit sebanyak dapat membantu guru-guru yang ketandusan idea atau yang menjadi pengacara majlis secara bidan terjun.